Latar Belakang Jabatan Tanah
Jabatan Tanah merupakan antara jabatan kerajaan tertua di Negara Brunei Darussalam dan telah mencapai 100 tahun pentadbiran tanah moden pada tahun 2009 berasaskan Kanun Tanah (Penggal 40) yang dikuatkuasakan pada 6 September 1909. Kanun ini meletakkan asas kepada sistem pendaftaran hak milik tanah moden melalui pengeluaran geran sebagai bukti pemilikan.
Jabatan Tanah berfungsi di bawah kuasa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta melaksanakan misinya untuk menyediakan perkhidmatan pentadbiran tanah yang cekap dan responsif, dengan visi menjana kemakmuran dan kesejahteraan negara.
Pada masa ini, Jabatan Tanah mengendalikan pelbagai perkhidmatan dan pendaftaran tanah di seluruh daerah, berpandukan perundangan tanah utama serta dasar-dasar semasa, termasuk pengurusan hak milik, kutipan hasil tanah, penaksiran dan sokongan kepada urusan rasmi kerajaan.
Pemerkasaan Hak, Pemilikan dan Kebajikan Rakyat
Penyediaan Lesen Tumpang Sementara (LTS), pengurniaan pajakan 99 tahun kepada pemegang LTS yang layak, perlindungan hak kepentingan tanah melalui kaveat, pengecualian premium pembaharuan pajakan, serta pemberian pampasan yang setimpal bagi pengambilan balik tanah untuk projek kerajaan.
Pemodenan Perkhidmatan dan Pendigitalan Sistem Tanah
Pendigitalan Pendaftaran Tanah melalui Sistem Pendaftaran Tanah (LRS), penyaluran maklumat yang telus dan terkini melalui laman sesawang Jabatan, serta pembangunan sistem pembayaran atas talian bagi memudahkan urusan pelanggan dan meningkatkan kutipan hasil jabatan.
Pengukuhan Tadbir Urus, Perundangan dan Perancangan Guna Tanah
Penguatkuasaan Akta Kanun Tanah (Strata), penyimpanan tanah kerajaan bagi keperluan projek agensi berkepentingan, serta penggubalan dasar-dasar guna tanah yang menyokong aspirasi pembangunan dan kepentingan negara.
Petikan Titah Di Majlis Penganugerahan Geran-Geran Tanah, Skim Perancangan Semula Perpindahan Kampong-Kampong Di Kawasan Anggerek Desa Berakas
26 Syaaban 1411 Bersamaan 13 Mac 1991.
“Menyentuh mengenai dengan tanah ini, rakyat jati perlulah menyedari, bahawa satu-satunya jenis harta yang paling bernilai, ialah tanah. Tanah adalah tempat diam, tempat kita berhidup. Tanpa tanah, seseorang akan menjadi dagang dan papa. Lebih baik sedikit wang dari tidak mempunyai tanah. Sebab daripada tanah itu, orang akan dapat bermacam-macam jenis rezeki, termasuklah rezeki kebebasan dan kemerdekaan. Adapun dua jenis rezeki ini, tidak akan dapat dibeli. Walaupun dengan wang ringgit yang banyak.
Sebagai bukti, cuba kita ingatkan nasib orang-orang malang yang tidak bertanah, mereka itu kadang-kadang menjadi setinggan yang sentiasa diburu-buru. Mereka tidak lagi mempunyai kebebasan, bahkan telah dianggap sebagai penjenayah kerana menduduki tanahtanah yang bukan milik mereka. Ini satu tragedi yang menimpa ke atas orang-orang yang tidak mempunyai tanah.
Dan berdasarkan inilah, suka beta mengingatkan kepada rakyat beta, khususnya rakyat jati di negara ini, supaya peka dengan masalah tanah ini. Janganlah ia dijadikan perkara secondary, tetapi patut diutamakan sebagai asas mengekalkan “ketuanan” serta sumber rezeki yang berkat.
Kita tidak mahu ada di kalangan masyarakat rakyat jati itu orang-orang yang tidak sayangkan tanah, seperti setengah orang-orang kita dahulu, yang sangat mudah menjualkan tanah-tanah mereka, walaupun dengan harga yang paling rendah. Atau ada juga tanah-tanah itu yang tergadai begitu sahaja, disebabkan oleh hutang-hutang yang tidak dapat dijelaskan, walaupun kadar hutang tersebut tidak seberapa.
Demikianlah, kita pernah mendengar, disebabkan hutang yang sedikit, yang tidak sampai berbelas ribu atau berpuluh-puluh ribu ribu ringgit, boleh menyebabkan berbelas-belas atau berpuluh-puluh ekar tanah terpaksa ke tangan orang lain.
Hal ini amatlah mendukacitakan, kerana ia boleh membawa kepada kekecewaan dan penyesalan yang berpanjangan. Oleh itu, adalah perlu sikap dan tabiat yang merugikan ini dibuang habis-habis sehingga ke akar-umbinya”.
Pengeranan Tanah Kerajaan Kampong Labu Estate dan Kampong Senukoh
September 1996
Keratan akhbar ini merakamkan peristiwa bersejarah pengurniaan geran-geran tanah kerajaan kepada penduduk Kampong Labu Estate dan Kampong Senukoh, Daerah Temburong, yang telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat melalui penyediaan hak milik tanah yang teratur serta menyokong penempatan semula dan pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat.
